PERTUBUHAN SENI SILAT PUSAKA GAYONG MALAYSIA (1756)

 

PANDUAN DAN RUJUKAN

(PENULIS : Mohd Zanizam bin Mohd Daud )

(EDIT SEMULA UNTUK WEB : Ahmad Zuwari bin Muhammad)

1.0 PENGENALAN

•  Seni Silat Gayong

Silat membawa maksud ilmu bagi mempertahankan diri samada secara mengelak, menyerang, mengunci, mematah dan semua aspek latihan jasmani. Latihan yang mencukupi amat diperlukan bagi melahirkan pesilat yang benar-benar cekap dan tangkas.

Erti seni pula ialah satu ilmu pergerakan yang halus dan ligat bergerak di dalam tubuh badan manusia yang meresap di seluruh sendi-sendinya menjadi ilmu kebatinan (ghaib). Ilmu ini hendaklah selalu diamalkan iaitu dengan mengikuti perintah segala perintah Allah dalam Islam untuk kejayaan dan keselamatan.

Seni Silat Gayong merupakan penyambungan perjuangan bangsa Melayu sebagai bangsa yang berdaulat dan merdeka. Walaupun negara telah merdeka dan mengecap keamanan, namun semangat dan intipati perjuangan hulubalang dahulu perlu dijadikan sumber panduan bagi menghadapi pancaroba hidup masa kini.

•  Falsafah GAYONG

Dari segi falsafahnya, Gayong menyimpulkan teras pendidikan kerohanian yang mendalam. Kalimah Gayong dipecahkan dalam huruf jawi membawa maksud Genggam (Gha), Angkat (Alif), Yakin (Ya), Waras (Wau), dan Ngeri (Nga).

Genggam bermaksud memegang perintah Allah tanpa berbelah bagi kepada ajaran Islam dengan hati yang suci serta penuh keimanan dan kepercayaan atas kuasa Nya. Juga bermaksud menggenggam amanah yang diberi dalam Seni Silat Gayong.

Angkat pula bermaksud kewajipan untuk menjunjung kedaulatan al Quran dengan menjadikan ia sebagai sumber panduan dan undang-undang dalam segenap aspek kehidupan. Juga bermaksud semua ahli Gayong mestilah memelihara segala amanah yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.

Yakin bererti kita beriman dan bertauhidkan hanya kepada Allah s.w.t. Juga perlu yakin dengan kelebihan dan keberkatan ilmu yang dituntut sehingga dapat menghadapi musuh-musuh dengan pertolongan dan bantuan Allah.

Waras memberi maksud sedar bahawa segala perbuatan yang hendak dilakukan perlulah dengan akal fikiran yang waras dan dengan berpaksikan keimanan kepada Allah supaya perbuatan direstui Nya. Juga bermaksud segala tindakan kita diputuskan dengan mengambilkira baik dan buruk kesan dari langkah dan gerak hasil dari keputusan.

Ngeri pula membawa pengertian takut hanya kepada Allah dan azabNya yang dahsyat buat manusia yang ingkar. Jua membawa maksud permainan dan pergerakan Gayong yang membawa kesan yang ngeri apabila dipamerkan dengan cara yang benar.

Justeru, setiap pesilat perlu merenung ke dalam diri dan mengkaji setiap aspek kehidupan agar apa yang tersirat akhirnya akan dapat dicungkil melalui pemerhatian, kajian, dan pentafsiran dengan hati yang suci.

•  Lambang Pertubuhan

Antara komponen yang terdapat pada lambang pertubuhan ialah :

•  Naga

Terdapat beberapa pentafsiran dan sebab penggunaan naga pada lambang pertubuhan. Antaranya ialah sempena mengingati bahawa hulubalang Hang Tuah pernah dapat mengalahkan pahlawan China yang digelar Pahlawan Naga. Disamping itu dikatakan juga bahawa naga adalah satu tanda binatang yang terhandal di dunia,

•  Bulan Sabit

Ia menandakan bahawa Gayong ini adalah terdiri daripada orang-orang yang beragama Islam. Ia juga sebagai tanda bahawa asas dan perjuangan Gayong ini adalah berlandaskan ajaran Islam.

•  Muka Singa

Ia menandakan bahawa hulubalang-hulubalang Gayong mempunyai keberanian dan sifat penyabar seperti yang dimiliki oleh singa. Walaupun singa itu adalah gagah dan berani tetapi ia payah untuk membunuh manusia, ia mempunyai sifat yang sabar dan bertimbang rasa.

Disifatkan juga bahawa anak-anak Gayong walaupun mempunyai ilmu persilatan tetapi tidak terburu-buru mengambil tindakan seperti memukul dan sebagainya, tetapi mempunyai kesabaran yang tinggi dan membuat tindakan dengan waras.

•  Keris

Keris menunjukkan permainan warisan bangsa Melayu yang terkenal yang terdapat dalam aliran Gayong. Dikatakan permainan keris adalah warisan daripada kehebatan permainan Hang Tuah dan Hang Jebat.

•  Lembing

Lembing pula menunjukkan permainan hulubalang Megat Terawis yang juga terdapat dalam permainan Gayong. Megat Terawis adalah hulubalang negeri Perak yang handal dalam permainan lembing.

•  Parang & Pedang

Pedang yang terdapat dalam lambang pertubuhan ialah pedang Saidina Ali. Jadi dalam aliran Gayong terdapat permainan pedang iaitu parang panjang.

•  Cindai

Cindai adalah permainan menggunakan kain sarung ataupun selendang. Permainan ini dikatakan diwarisi daripada permainan Puteri Melewar. Cindai yang melilit lembing ini menunjukkan permainan cindai dalam aliran Gayong dan merupakan antara permainan yang tertinggi dalam aliran Gayong.

•  Selendang Kebesaran

Selendang kebesaran yang terbentuk seperti bentuk tanduk ataupun mata kerambit ini mempunyai tujuh pelangi di kiri dan kanannya. Antara maksudnya ialah permainan Gayong telah dibawa ke Tanah Melayu oleh hulubalang bugis tujuh beradik.

 

Warna-warna pada lambang pertubuhan pula ialah;

•  Putih – membawa maksud kebersihan dan kesucian seseorang itu samada yang zahir mahupun batin.

•  Hitam – menunjukkan bayang-bayang diri kita dan tidak menunjukkan corak, tidak membezakan antara yang kaya dan miskin dan persamaan sesama diri dalam Gayong.

•  Kuning – lambang kebesaran dan kedaulatan tanah Melayu yang mempunyai Raja berdaulat.Merah – tanda keberanian, juga bermaksud darah yang mengalir dalam tubuh badan kita.

 

2.0 SEJARAH PERTUBUHAN SENI SILAT PUSAKA GAYONG MALAYSIA

Silat Seni Gayong adalah pusaka warisan dari kesedaran seluruh hulubalang, pahlawan-pahlawan serta pendekar-pendekar bangsa Melayu yang bertanggungjawab, kasih sayang dan cinta terhadap agama, bangsa dan negara. Warisan pusaka ini diperjuangkan dari satu masa ke satu masa oleh turun temurun bangsa Melayu.

2.1 Gayong

Gayong ialah seorang hulubalang Melayu yang terbilang di zaman purba di rantau kepulauan gugusan rumpun Melayu dari Kerajaan Melayu Champa dan Monggolia. Dia dianggap keturunan anak cucu Raja Suran, hulubalang Gayong yang mempunyai ilmu kebolehan semulajadi zahir dan batin.

2.2 Seni Gayong

Seni Gayong telah dibawa oleh tujuh hulubalang panglima anak Raja Bugis keturunan Daeng Sulawesi yang terdiri daripada Daeng Kuning, Daeng Jalak, Daeng Merewak, Daeng Mempawah, Daeng Celak, Daeng Pelangi dan Daeng Telani.

Hulubalang tujuh beradik ini telah datang ke semenanjung Tanah Melayu bagi menyusun semula kekuatan orang-orang Melayu setelah kejatuhan empayar Melaka pada tahun 1511. Mereka telah mendarat di Air Kuning, Taiping, Perak. Setelah mendapat firasat mereka berpecah antara satu sama lain. Maka berpantunlah Daeng Kuning dengan berkata :

Pecah Gayong di dalam dulang,

Dulang hanyut di lautan tujuh,

Perpecahan Gayong perpecahan sayang,

Di suatu masa balik berteguh

Dijawab oleh seorang daripada mereka : “ Segayong, sekendi, seperigi, seperminum, sejalan, sejadi, sedarah. Sedaging, sepadu”, berinti kembali bersatu setelah penyusunan dapat diaturkan demi untuk kejayaan.

Maka berpisahlah seorang di Kedah, Selangor, Melaka, Johor, Pahang dan Terengganu. Hanya Daeng Kuning sahaja yang tinggal di Perak. Berkat hijrah dan jihad tujuh beradik ini maka bersemaraklah kembali semangat pejuang anak Melayu bangun menentang penjajahan di Tanah Melayu dari semasa ke semasa.

2.3 Seni Silat Gayong

Perjuangan Seni Gayong telah disambung oleh Seni Silat Gayong bagi meneruskan perjuangan para syahid yang telah gugur di medan perjuangan. Ia telah mula digerakkan di Pokok Asam, Taiping, Perak dan diasaskan oleh tiga beranak daripada anak cucu Daeng Kuning iaitu Daeng Uda Mohd Hashim, Daeng Meor Abdul Aziz dan Daeng Meor Abdul Rahman yang merasa bertanggungjawab atas amanah pejuang hulubalang Gayong tujuh beradik.

Mereka menubuhkan pasukan gerakan bawah tanah dinamakan Seni Silat Gayong supaya pihak penjajah tidak mecurigai pasukan ini dan menyangka bahawa ia hanyalah kumpulan mempelajari silat kebudayaan orang Melayu sahaja. Sedangkan matlamat asal adalah untuk menentang penjajah dengan menarik minat pemuda pemudi bermain silat. Melalui Seni Silat Gayong dapatlah semangat perjuangan ditiupkan.

Bermula dengan kaum keluarga dan pemuda pemudi di sekitar Pokok Asam, pada sekitar 1937 Seni Silat Gayong mula diajarkan kepada pemuda pemudi di daerah itu, seterusnya kepada orang-orang di bandar Taiping dan di istana Sultan Perak.

2.4 Lembaga Beradat Seni Silat Gayong

Pergerakan Gayong telah disusun semula oleh anak-anak Gayong di Perak khas bagi menerima ahli baru pada tahun 1938. Perbincangan telah dibuat dengan mengadakan peraturan khas dan beberapa perkara untuk mengemaskini perjalanan Seni Silat Gayong.

Dalam perbincangan ini telah disetujui penubuhan Lembaga Beradat Seni Silat Gayong yang bertugas menjaga pergerakan dan perjalanan silat seni Gayong dengan teratur supaya tidak bertelagah sesama anak-anak Gayong. Perbincangan juga bersetuju untuk mengembangkan Seni Silat Gayong ke seluruh Tanah Melayu.

Seterusnya Seni Silat Gayong terus bergerak dan berkembang ke seluruh Tanah Melayu dan Singapura dengan menjadikan Pokok Asam, Taiping sebagai pusat untuk penabalan, ilmu dan adat istiadat Gayong.

2.5 Pendaftaran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Pada tahun 1963 Dato' Onn Jaafar dan keluarga serta pemimpin kemerdekaan Tanah Melayu yang lain telah berbicang di rumah Daeng Uda Mohd Hashim di Pokok Asam untuk mendafatarkan Seni Silat Gayong sebagai pertubuhan. Akhirnya pada 25/3/1963 Pertubuhan Seni Silat Gayong Tanah Melayu didaftarkan dan diluluskan dengan nombor pendaftaran 361.

2.6 Penubuhan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia

Pada tahun 1977, berlakulah sejarah yang menyedihkan di dalam Silat Seni Gayong apabila Abdul Majid bin Mat Isa telah dipecat daripada jawatan Gurulatih Tertinggi oleh Dato' Meor Abdul Rahman. Namun begitu, atas sokongan dan kesedaran daripada anak-anak Gayong terutamanya di Kedah, Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia telah didaftarkan pada 25 Julai 1978 dengan nombor pendaftaran 1756.

3.0 ADAB, ADAT & ISTIADAT SILAT SENI GAYONG

Antara aspek utama yang dapat menjadi kayu pengukur perbezaan antara silat seni Gayong dengan aliran silat Melayu lain dan juga aliran seni beladiri asing ialah dari segi adab, adat dan istiadat yang dipegang. Aspek ini sekiranya dapat dihayati dan disampaikan dengan baik akan dapat menghasilkan insan yang punya sahsiah dan jatidiri yang kental.

Pergerakan Silat Seni Gayong ini bermula dengan adat istiadat yang membawa maksud peraturan yang mesti diikuti dan dipatuhi.

3.1 Istiadat Perlimau Tapak (Mandi Tapak)

Sebelum seseorang menjadi murid Gayong secara rasmi, adat yang perlu dijalankan ialah istiadat Perlimau Tapak (Mandi Tapak). Istiadat ini merupakan sabagai akad penerimaan sebagai murid Gayong. Ia dijalankan oleh Pemegang Amanah Silat Seni Gayong yang telah dilantik.

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk menjadi ahli Gayong adalah seperti berikut :

•  Beragama Islam

•  Berwuduk (Mengambil air sembahyang)

•  Membaca surah lazim : al Fatihah, al Ikhlas, al Masad

•  Memberi salam

•  Menjunjung al Quran

•  Berikrar taat setia

•  Menerima, memegang dan menjaga amanah Allah supaya ia tidak menyeleweng dari akidah Islam.

Antara bahan-bahan asas yang diperlukan untuk menjalankan upacara ini ialah sebiji limau nipis dan akar sintok iaitu peralatan mandian orang dahulu (sabun dan berus), asam jawa dan garam sebagai simbolik kepayahan dan rintangan yang perlu dilalui oleh setiap pesilat. Pisang sebagai hidangan majlis, beras kuning ataupun putih dan juga bertih sebagai adat menyambut tetamu. Bahan lain yang juga digunakan ialah kemenyan untuk penyegar udara dan membangkit suasana.

Individu yang telah menjalani istiadat mandi tapak dibenar untuk mempelajari pelajaran Tapak Gayong.

3.2 Istiadat Mandi Seni

Istiadat ini dijalankan apabila seseorang pesilat sampai ke peringkat penuntutan ilmu ke peringkat yang lebih tinggi. Pada tahap ini pesilat akan dibenarkan mempelajari ilmu silat setinggi yang mampu termasuk bermain apa jua senjata dan ilmu kebatinan. Bahan-bahan yang diperlukan adalah sama seperti untuk upacara mandi tapak. Bahan tambahan yang diperlukan adalah tujuh jenis bunga, tujuh warna benang, dan keris atau parang 21 bilah yang sekarang diganti dengan 21 pucuk jarum.

3.3 Adat Istiadat Lain

Antara adat istiadat lain di dalam Silat Seni Gayong adalah:

•  Mandi minyak

•  Khatam keris

•  Khatam lembing

•  Penyampaian bengkung & sandang

•  Pertabalan ahli Lembaga Beradat

•  Sambutan Hari Sang Sapurba

•  Adat Menghadap Tapak

Menghadap tapak dilakukan semasa :

•  Penerimaan penabalan

•  Memohon izin bergelanggang

•  Memberi hormat kepada majlis

Cara menghadap bertapak :

Bertapak maju ke hadapan dimulakan dengan kaki kanan dan diakhiri dengan kaki kanan juga lalu duduk berlutut. Kemudian diikuti dengan dengan duduk berlutut. Selepas itu kedua tangan dirapatkan untuk memberi sembah hormat.

Duduk bertapak pada pesilat terdapat dua peringkat :

•  Peringkat tapak

Pada akhir tapak kiraan 3 atau 7, duduk berlutut mestilah dalam keadaan lutut kanan dipacakkan dan lutut kiri ditanamkan ke bumi.

•  Peringkat Seni

Pada akhir tapak kiraan 3 atau 7, duduk berlutut dalam keadaan kedua-dua lutut ditanamkan ke bumi.

 

•  Pakaian Latihan

Warna : Hitam

Kelengkapan:

•  Tengkolok/tanjak

•  Baju kurung Melayu dengan potongan leher bujur sireh dan berlengan ¾ panjang

•  Seluar dengan kaki ¾ labuh

•  Bengkung berbentuk talipinggang mengikut taraf pencapaian. Hendaklah diikat samada disebelah kanan ataupun kiri pinggang.

Bagi penuntut wanita, panjang lengan baju & seluar mestilah menutupi pergelangan tangan dan buku lali menutupi aurat serta memakai sampin.

3.6 Adat Buka/Tutup Gelanggang

Latihan dimulakan dengan adat pembukaan gelanggang dan diakhiri adat penutupan gelanggang. Upacara ini disempurnakan dengan membaca ayat-ayat berikut:

  1. Surah al Fatihah (1x)
  2. Surah al Ikhlas (11x)
  3. Selawat keatas junjugan besar Nabi Muhammad s.a.w (3x)

Hadiah kepada Rasulullah s.a.w, para sahabat Rasulullah s.a.w, para malaikat, auliya', ulama serta muslimin & muslimat.

  1. Doa (buka) pohon keselamatan sepanjang latihan daripada sebarang bahaya.

Doa (tutup) kesyukuran kerana latihan berjaya ditamatkan dengan baik dari mula hingan akhir dan semoga mendapat keredhaan serta rahmat daripada Allah s.w.t.

3.7 Adab Dalam Gelanggang

Antara perkara yang mesti dipatuhi murid semasa berada di dalam gelanggang :

  1. Tidak meludah
  2. Tidak memakai alas kaki.
  3. Tidak bergurau senda
  4. Minta izin dari imam gelanggang jika ingin keluar atau ingin bertemu seseorang di luar gelanggang.
  5. Menghormati rakan-rakan dalam latihan.
  6. Tidak makan atau minum.
  7. Tidak memakai barang-barang kemas dan alat perhiasan diri.

Semasa menikmati makanan/minuman, bengkung, tengkolok dan sandang yang dipakai hendaklah ditanggalkan dan disimpan ditempat yang elok dan selamat.

BAB 4 STRUKTUR ORGANISASI PERTUBUHAN

Bagi menyusun pergerakan agar lebih tersusun, beberapa jawarankuasa telah dibentuk dan diberikan kuasa dalam pertubuhan.

Antara struktur yang ditubuhkan ialah:

•  Ahli Jawatankuasa PSSPGM (Pusat)

•  Ahli Jawatankuasa Lembaga Beradat

•  Lembaga Beradat

4.1 Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (catatan sehingga 2003)

PENAUNG

K.D.Y.M.M Tuanku Sultan Kedah Darul Aman

PENASIHAT

Yang Berhormat Dato Sri Sanusi bin Junid

YANG DIPERTUA

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Ismail

NAIB YANG DIPERTUA

En Abdul Rahman bin Mat Isa

SETIAUSAHA AGONG

En Abdul Majid bin Mat Isa (PJK)

BENDAHARI

Tuan Haji Fadzil bin Haji Omar

AHLI JAWATANKUASA

En Awang bin Daud

En Ismail bin Chik

En Rusli bin Hashim

En Wan Abdul Halim bin Wan Mamat

Cikgu Rashid

Tuan Haji Mohayaddin bin Mohd Ali

En Saidin Sallehudin

En Shuib bin Man

4.2 Ahli Jawatankuasa Lembaga Beradat (catatan sehingga 2003)

GANGGA CULA SAKTI (PENAUNG )

K.D.Y.M.M Sultan Kedah Darul Aman

PELANGI BINTANG CULA SAKTI

(IMAM KHALIFAH & PENASIHAT AGUNG)

Yang Berhormat Dato Sri Sanusi bin Junid

TIMBALAN IMAM KHALIFAH

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Ismail

KHALIFAH BESAR WARIS BERADAT

En Abdul Hamid bin Mat Isa

En Abdul Rahman bin Mat Isa

En Mat Ariff bin Osman

Ustaz Abdullah bin Haji Saidi

 

4.3 Lembaga Adat Istiadat (catatan sehingga 2003)

PEMEGANG AMANAH PEWARIS LEMBAGA ADAT ISTIADAT

En. Abdul Majid bin Mat Isa (PJK)

KETUA LEMBAGA ADAT ISTIADAT

En Abdul Hamid bin Mat Isa

LEMBAGA WARIS BERADAT

En Abdul Rahman Mat Isa

Yang Berhormat Dato' Paduka Haji Abdullah bin Haji Ismail

En Qamari bin Melan

En Ramli bin Mat Aroff

En Awang bin Daud

En Ismail bin Chik

En Abdullah bin Said

En Bahari bin Yahaya

Tuan Haji Fadzil bin Omar

Tuan Syed Abdullah bin Awang Sa

Tuan Syekh Soffi

En Mansor bin Man

 

LEMBAGA WARIS BERADAT DARI NEGERI-NEGERI (catatan sehingga 2003)

KELANTAN

En Che Yob

En Wan Abdul Halim bin Wan Mamat

En Wan Abdul Ghani bin Wan Ismail

PAHANG

Y.M Tengku Ariff

En Azizan bin Shariff

En Ghazali bin Md Tahir

En Md Noor bin Senawi

En Md Yusoff bin Ariff

En Abdul Razak bin Ahmad

PULAU PINANG

En Rusli bin Hashim

En Fauzi

En Baed

LANGKAWI

En Abdul Hakim bin Abd Rashid

En Ghazali bin Md Noor

KUALA LUMPUR

Tuan Haji Mohayaddin bin Mohd Ali

Ustaz Akram Zaki bin Abdul Rashid

En Mohammad Fairus bin Khairuddin

SELANGOR

Cikgu Abdul Rashid

En Nasir bin Abdul Razak

NEGERI SEMBILAN

En Mokhtar bin Ali

TERENGGANU

Tuan Haji Mokhtar

PERAK

En Mohd Sidek bin Shamsudin

Tuan Haji Shuib bin Long

JOHOR

Cikgu Saidin bin Sallehudin

PERLIS

Tuan Haji Osman bin Haji Said

SABAH

En Shafarudin bin Rashid

5.0 BENGKUNG DAN SUKATAN PELAJARAN

Setelah secara rasminya menjadi murid Gayong melalui syarat yang telah ditetapkan, pesilat akan dilatih secara intensif untuk menjadi seorang insan yang kuat dari segi fizikal dan rohani.

Tingkatan bengkung yang terdapat di dalam Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia adalah seperti berikut;

•  Awan Putih

•  Pra Putih

•  Putih Cula

•  Pelangi Hijau

•  Pra Hijau

•  Hijau Cula

•  Pelangi Merah

•  Pra Merah

•  Merah Cula

•  Pelangi Kuning

•  Hitam

Jalur melintang dipanggil cula akan diberikan mengikut tahap pencapaian pesilat semasa ujian dan juga mengikut penilaian gurulatih yang menguji. Bengkung hendaklah diikat mengikut cara ikatan silat samada di sebelah kanan ataupun kiri pinggang.

5.1 Pra Putih

a. Gerakan Asas Anak Harimau

•  Tumbuk dalam tapak

•  Tangkis dalam tapak

•  Pancung dalam tapak

•  Tumbuk bertapak

•  Sepak lambung kemudi

•  Sepak tebar jala

•  Sepak juring

•  Sepak padu

•  Sepak tolak belakang

b.  Serangan Anak Harimau (10 tapak)

c.  Asas Tangkisan (1-10)

d.  Asas Elak Pukul (1-10)

e  Senaman Anak Harimau

•  Harimau mengambur mangsa

•  Lompatan tenggiling

f.  Tapak Siku Lang (Cula 7)

g.  Pentas Pra Awan Putih

5.2 Putih Cula

a.  Gerakan Asas Anak Harimau

•  Tumbuk dalam tapak

•  Tangkis dalam tapak

•  Pancung dalam tapak

•  Tumbuk bertapak

•  Sepak lambung kemudi

•  Sepak tebar jala

•  Sepak juring

•  Sepak padu

•  Sepak tolak belakang

b.  Serangan Anak Harimau (10 tapak)

c.  Pukulan maut (1-7)

d. Buah Tapak Kunci Mati (1-7)

e. Senaman Anak Harimau

•  Harimau Menghambur Mangsa ( 3 halangan)

•  Lompat Tenggiling

•  Lompat Pacat (hand spring)

•  Harimau Mencengkam Mangsa

f.  Pentas 1

5.3 Pra Hijau

a. Gerakan Asas Anak Harimau

•  Tumbuk balas tumbuk dalam tapak

•  Tumbuk balas tangkis dalam tapak

•  Tumbuk balas pancung dalam tapak

•  Tumbuk melangkah – tangkis bawah – tangkis tengah

b.  Serangan Anak Harimau (1-10 tapak)

c.  Serangan Rajawali (11-49 tapak)

d.  Pukulan maut (1-14)

e.  Buah Tapak Kunci Mati (1-14)

f.  Senaman Anak Harimau

•  Harimau Menghambur Mangsa (5 halangan)

•  Lompat Tenggiling

•  Melentik Pacat (3 kali)

•  Harimau Mencengkam Mangsa ( 5 halangan)

•  Harimau Menghambur Mangsa / Rukuk (3 halangan)

g.  Pentas II

5.4 Hijau Cula

a. Gerakan Asas Anak Harimau

•  Tumbuk balas tumbuk dalam tapak

•  Tumbuk balas tangkis dalam tapak

•  Tumbuk balas pancung dalam tapak

•  Tumbuk melangkah – tangkis bawah – tangkis tengah

b.  Serangan Anak Harimau (1-10 tapak)

c.  Serangan Rajawali (11-49 tapak)

d.  Pukulan maut (1-21)

e.  Buah Tapak Kunci Mati (1-21)

f.  Senaman Anak Harimau

•  Harimau Menghambur Mangsa (5 halangan)

•  Lompat Tenggiling

•  Melentik Pacat (3 kali)

•  Harimau Mencengkam Mangsa ( 5 halangan)

•  Harimau Menghambur Mangsa / Rukuk (3 halangan)

g.  Pentas III

5.5 Pra Merah

a. Gerakan Asas Anak Harimau

•  Tumbuk balas tumbuk dalam tapak

•  Tumbuk balas tangkis dalam tapak

•  Tumbuk balas pancung dalam tapak

•  Tumbuk melangkah – tangkis bawah – tangkis tengah

b. Serangan Anak Harimau / Rajawali ( 49 tapak)

c. Combat (1-13)

d. Tangkapan kaki (1-7)

e. Pecahan Buah 1 (1-7)

f. Pecahan Buah 2 (1-7)

g. Buah Cekik (1-7)

h. Pentas IV

i. Senaman Anak Harimau

•  Harimau Menghambur Mangsa (5 halangan)

•  Melentik Pacat ( 3 kali)

•  Harimau Mencengkam Mangsa (5 halangan)

•  Harimau Menghambur Tinggi (5 halangan)

5.6 Merah Cula

a. Gerakan Asas Anak Harimau

•  Tumbuk balas tumbuk dalam tapak

•  Tumbuk balas tangkis dalam tapak

•  Tumbuk balas pancung dalam tapak

•  Tumbuk melangkah – tangkis bawah – tangkis tengah

b. Serangan Anak Harimau / Rajawali ( 49 tapak)

c. Seni Pisau

•  Asas Tikaman Pisau (8 teknik)

•  Asas Gerakan Pisau (21 tapak)

•  Tangkapan Tikaman Anak Sungai (1-13)

•  Tangkapan Tikaman Pasak (1-5)

•  Tangkapan Tikaman Radak (1-5)

•  Tangkapan Tikaman Amuk (1-3)

•  Pentas Pisau

d. Seni Simbat

•  Asas Gerakan Simbat (1-21)

•  Tangkapan Simbat (1-7)

•  Pentas Simbat

e. Seni Keris

•  Asas Gerakan Keris

•  Seni Tangkapan Keris

•  Pentas Keris

f.  Senaman Anak Harimau

•  Harimau Menghambur Mangsa (5 halangan)

•  Melentik Pacat ( 3 kali)

•  Harimau Mencengkam Mangsa (5 halangan)

•  Harimau Menghambur Tinggi (5 halangan)

5.7 Pelangi Kuning

a. Parang

•  Gerakan (1-21)

•  Buah tangkapan (1-7)

•  Serangan Amuk (1-3)

•  Pentas Parang

b. Lembing

•  Gerakan (1-15)

•  Buah Tangkapan (1-7)

•  Pentas Lembing

5.8 Hitam Cula

a. Cindai

b. Seni Yoi

c. Seni Belian

 

6.0 PENUTUP

Seni Silat Gayong merupakan pergerakan yang telah disusun sejak dari dahulu lagi untuk kepentingan bangsa Melayu. Lahirnya dengan membawa maksud yang cukup besar untuk bangsanya. Bagi meneruskan kesinambungan perjuangan tersebut, generasi kini harus gigih menggayong ilmu Gayong setinggi yang boleh untuk disampaikan seterusnya ke generasi akan datang.

6.1 Ikrar Gayong

Aa Uzubillahi Minasyaithonir Rajim

Bismillahir Rahmanir Rahim

 

Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia untuk menjadi

murid dan ahli Silat Seni Gayong

Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia kepada Allah.

Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia kepada Baginda Rasulullah

Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia kepada ibu dan bapa ku.

Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia kepada guru-guru ku.

Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia kepada saudara seGayong dengan ku.

Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertua Agong dan Raja Permaisuri Agong serta

KDYMM Sultan-sultan yang memerintah Tanah Melayu dan seluruh kerajaannya.

Ya Allah ! Ya Tuhanku ! Tunjukilah aku jalan yang benar dan jauhkanlah aku jalan yang salah.

Ya Allah ! Ya Tuhanku ! Murahkanlah rezeki ku, Kau panjangkanlah umur ku dan kedua ibu bapa ku, Kau tetapkanlah iman ku, Kau lindungilah aku dari malapetaka jin dan iblis dan juga manusia yang berniat khianat atas diri ku dan negara ku.

Inilah ikrar taat setia ku pada negara ku, Raja ku, agama ku.

Amin ! Amin ! Ya Rabbal Alamin…

 

6.2 Sajak Silat Seni Gayong

(Ciptaan : Allayarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman)

Tahun : 1942

Dengan Bismillah mula dikata

Mengingatkan kebesaran Allah yang mulia

Kerana wajib telah ternyata

Segala perbuatan mahulah diserta

Tempana nipis nama asal ku

Keris pusaka Ratu Dewangga

Niat derhaka kepada Raja ku

Taming menyerah keris pusaka

Seni Gayong payung pusaka

Naungan aneka hikmat mulia

Rahsia tersimpan dipurba kala

Ilham menyusul zahir semula

Tempana nipis nama asal ku

Besi tua di Tanah Jawa

Hidup kembali kebudayaan bangsa ku

Tidak Melayu hilang di dunia

Lembaganya bersih nyawanya suci

Berseru kepada putera dan puteri

Agama yang mulia junjunglah tinggi

Belalah bangsa, adat dan negeri

Majapahit nama negara

Tempat ratu raja Jawa

Kalau diguna akal bicara

Kebudayaan Melayu subur semula

Gayong mencantum bersatu padu

Mengingatkan junjungan ampunya seru

Sama sendiri bantu membantu

Selamat sejahtera hajat dituju

Seni Gayong seni asli

Dari pusaka ibu pertiwi

Umat Melayu menjunjung tinggi

Akhir hayat tidak dilupai

Matahari terbit di Palembang Siguntang

Tanahnya subur ditanam padi

Keris dihunus dipegang dijulang

Kesatriaan pahlawan timbul kembali

Seni Gayong sudah terpuji

Dijunjung oleh seluruh negeri

Pemuda pemudi harus pelajari

Agar Gayong kekal abadi

Gayong emas kendi pusaka

Bekalan air Raja Kesakti

Keris ku hunus langkah ku mula

Bangsa Melayu sudah terpuji

Seni Gayong seni Melayu

Tidak senang untuk ditiru

Taat setia untuk mengaku

Supaya menjadi lambang Melayu

Besi kuning besi kesakti

Anak panah Sang Rajuna

Kembali Gayong kebudayaan asli

Di Tanah Melayu hulubalang tua

Seni Gayong seni pusaka

Dipimpin oleh putra negara

Supaya dapat taat setia

Amanat guru harus dijaga.


 

6.3 Amanat Guru

Jangan ditepuk susu di dulang,

Anak harimau tak dapat menyusu,

Jangan pecah rahsia hulubalang,

Nanti harimau hilang kuku.

Jangan ditepuk darah di dulang,

Anak harimau mancari ibu,

Jangan pecah mentera hulubalang,

Nanti harimau hilang asu.

Jikalau ada dulang di tangan,

Jangan biar jatuh terhempas,

Jikalau ada senjata di tangan,

Jangan biar orang rampas.

Pecah Gayong di dalam dulang,

Dulang hanyut di lautan tujuh,

Perpecahan Gayong perpecahan sayang,

Di suatu masa kembali berteguh.

Segayong,

Sekendi,

Seperigi,

Sepeminum,

Sejalan,

Sejadi,

Sedarah,

Sedaging,

Sepadu,

Gayong? Siapa Gayong? Aku Gayong, Engkau Gayong.

Gayong? Dimana Gayong? Di sini Gayong, di sana Gayong.

Apa Gayong? Genggam, Angkat, Yakin, Waras, Ngeri.